Friday, 5 August 2016

SERANGAN JANTUNG

Sakit pada dada mungkin menandakan serangan jantung.
Seseorang yang mengalami serangan jantung memerlukan bantuan perubatan dengan segera memandangkan terdapat kemungkinan jantung akan terhenti.  Matlamat anda ialah untuk mententeramkan, membantu dan memantau keadaan mangsa sementara anda menunggu perkhidmatan kecemasan untuk sampai.
Kenal Pasti Tanda-tanda Serangan Jantung
Tanda-tanda serangan jantung adalah seperti berikut:
·         Sakit seperti sakit dada yang tidak berkurang apabila mangsa berehat.  Kesakitan kerap merebak ke salah satu atau kedua-dua belah tangan dan juga ke rahang.
·         Rasa tidak cukup nafas,  mungkin tercungap-cungap untuk bernafas.
·         Nadi yang cepat tetapi lemah dan tidak sekata.
·         Kulit menjadi pucat, kelabu atau berpeluh.
·         Tidak selesa pada bahagian atas badan.  Rasa mual dan muntah.
·         Rasa lemah dan pening dan mungkin pitam.
Langkah-langkah Pertolongan Cemas Serangan Jantung

1.      BUAT MANGSA SELESA.  Tenangkan mangsa, dudukkan dia dalam posisi duduk separa (sandarkan mangsa) dan buat mangsa rasa selesa seboleh mungkin.  Longgarkan pakaian pada leher, dada dan pinggangnya.  Tinggikan sedikit lututnya dan letakkan pelapik di bawahnya.  Ini akan mengurangkan bebanan jantungnya.
Mangsa serangan jantung disandarkan dan bawah lipatan lututnya disokong.Mangsa serangan jantung disandarkan dan bawah lipatan lututnya disokong.

2.      PANGGIL BANTUAN KECEMASAN.  Panggil bantuan perkhidmatan kecemasan dan nyatakan anda ada mangsa yang disyaki mengalami serangan jantung.
3.      BERI UBAT.  Jika mangsa mengalami sakit dada (angina),  beliau mungkin mempunyai ubat untuk ini, bantu mangsa untuk mendapatkannya.  Jika mangsa sedar sepenuhnya, beri mangsa satu dos penuh (300 mg) tablet aspirin.  Beritahu mangsa untuk mengunyahnya perlahan-lahan supaya ia larut dan boleh masuk ke dalam aliran darah dengan lebih cepat.
4.      PANTAU MANGSA.  Pantau pernafasan dan nadi mangsa dan juga tahap kesedaran mangsa ketika anda menanti bantuan kecemasan.  Catatkan sebarang perubahan.
Amaran
Jika mangsa menjadi pengsan dan tidak sedarkan diri, buka laluan udara dan periksa pernafasannya.  Bersedia untuk memberi bantuan CPR.


No comments:

Post a Comment